Wednesday, August 12, 2009

USRAH ONLINE

Assalamualaikum wrh bkth,
Alhamdulillah, bersama-sama kita merafa'kan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas nikmat kehidupan dan kekuatan dalam kita meneruskan hidup yang penuh dengan cabaran dan tribulasi ini.

Sama-sama kita berselawat ke atas junjungan yang Mulia Nabi Muhammad S.A.W, doa buat para keluarga baginda, para sahabat, tabi' tabi'in dan para Syuhada' yang telah bergelumang dengan perit dalam meniti
perjuangan menegakkan kalimah Agung milik ALLAH.
Syukur Alhamdulillah, kerana kita diberikan peluang untuk bersama meniti beberapa elemen dan penghayatan kepada Islam.

Saya kira ini adalah Usrah online yang ke2. Yang inshaALLAH diberi tajuk : "Ibadah dalam diari kehidupan Pejuang" yang disusunkan oleh Al Fadil Ustaz Hafeez Abdillah(http://ghulamassarawaki.blogspot.com/)
Apa itu Ibadah?

"Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu. " (Adz-Dzaariyaat : 56)

Di dalam Surah Dzaariyat menerangkan bahawa, ALLAH menciptakan kita dan Jin ini tidak lain tidak bukan hanyalah beribadah kepadaku. Namun, itu tafsiran secara ringkas. Ibadah yang digariskan oleh Para Fuqaha' adalah Taat dan Patuh. Namun, pengertian Ibnu Qayyim pula cukup berbeza yakni Ibadah itu adalah cinta. Kenapa dikatakan cinta? Adakah kerana berkasih-kasih sayang dengan ALLAH? Sedikit perumpamaan:
Pernahkah terdetik dalam hati anda rasa cinta kepada orang lain? Bagi sesiapa yang pernah, mereka tentu faham bagaimana keadaannya. Sampaikan kita sanggup buat apa sahaja. Setiap saat asyik teringat tentang si dia. Apa yang dia larang, kita cuba sebaik mungkin untuk tidak melanggarinya. Dan apa yang dia pinta, selagi boleh kita cuba usahakan untuk dapatkannya.

Sehinggakan kalau ada orang lain cuba menunjukkan sedikit kemesraan kepada si dia, kita sudah berasa terlalu cemburu. Lantas kita cuba memberikan yang lebih baik lagi.

Jadi, itulah yang dimaksudkan oleh Ibnu Qayyim tentang maksud ibadah. Ibadah adalah cinta. Kalau cinta kepada manusia kita sudah menjadi terlalu gila seperti itu, sepatutnya cinta yang seperti itu kita sandarkan kepada Tuhan.

Sebagai Seorang Pejuang Islam, seharusnya kita harus mempunyai dua elemen yang penting mengenai Ibadah. Yakni Taat Patuh dan Cinta

Di Sisi pandang,pengertian Ibadah berasal dari perkataan Arab yang membawa maksud merendah diri, tunduk, patuh, taat, menghina diri dan memperhambakan diri kepada yang lain. Menurut istilah syarak: taat, patuh dan merendahkan diri sepenuhnya kepada Allah swt - mengikut peraturan dan suruhan Allah sebagaimana ditetapkan di dalam Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw. Kepatuhan ini hendaklah dilakukan secara berterusan setiap masa hingga ke akhir hayat. Ia merangkumi makna ketundukan dan kecintaan kepada Allah swt.

Asas-asas ibadah

1. Ketundukan - menurut, mengikut dan mendekatkan diri dengan segala perintah yang
disyariatkan Allah. Ketundukan ini berasaskan kepada perasaan sedar terhadap keesaan Allah dan kekuasaanNya ai atas segala sesuatu dibandingkan dengan kedaifan dan kekerdilan diri sendiri.

2. Kecintaan - kepatuhan ini hendaklah juga lahir dari rasa cinta kepada Allah. Ia berdasarkan kesedaran manusia terhadap limpah kurnia Allah, nikmat-nikmat dan rahmatNya. Kesedaran ini juga lahir daripada rasa kagum terhadap kemuliaan dan kesempurnaan Allah.

"Katakanlah: Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi danmengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." Ali Imran : 31

"Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah, mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah." Al-Baqarah : 165

Ciri-ciri ibadah

1. Perhubungan manusia dengan Tuhan adalah secara terus - tidak memerlukan perantaraan sebagaimana ajaran Kristian. Allah sahaja hukum, tempat mengadu dan meminta ampun.

2. Peribadatan tidak terkongkong di tempat-tempat tertentu.

3. Ruang ibadah di dalam Islam sangat luas - meliputi setiap aktiviti
kehidupan manusia. Setiap apa yang dilakukan adalah ibadah sekiranya
cukup syarat.

Syarat-syarat ibadah

1. Amalan yang dilakukan hendaklah diakui Islam dan bersesuaian dengan hukum syarak.
2. Amalan hendaklah dikerjakan dengan niat yang baik - bagi memelihara
kehormatan diri, menyenangkan keluarga, memanfaatkan ummat dan
mamakmurkan bumi Allah.
3. Amalan hendaklah dibuat dengan seeloknya.
"Bahawa Allah suka apabila seseorang dari kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya." (Riwayat Ibnu Majah)

4. Ketika melakukan kerja hendaklah sentiasa mengikut hukum-hukum syariat
dan batasnya, tidak menzalimi orang, tidak khianat, tidak menipu dan
tidak menindas atau merampas hak orang lain.
5. Dalam mengerjakan sesuatu ibadah, tidak lalai dari ibadah yang wajib. Peranan ibadah yang khusus Ibadah yang khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji adalah untuk mempersiapkan individu menghadapi ibadah yang umum yang mesti dilakukan di sepanjang kehidupan. Solat mengingatkan kita lima kali sehari bahawa sesungguhnya kita adalah hamba Allah dan hanya kepadaNya tempat pengabdian kita untuk mengeratkan hubungan kita dengan Allah. Puasa menimbulkan perasaan taqwa kepada Allah sehinggakan kita tidak membatalkannya walaupun bersendirian. Zakat mengingatkan kita bahawa harta yang kita perolehi adalah amanah dari Allah. Di dalam harta kita ada hak-hak orang lain yang mesti ditunaikan. Haji menimbulkan perasaan cinta dan kasih kepada Allah di dalam hati dan kesediaan untuk berkorban keranaNya. Matlamat dan tujuan ibadah Kenapakah kita beribadah menyembah Allah SWT? Kenapakah Allah mewajibkan kita beribadah dan mentaatiNya? Adakah sebarang faedah diperolehiNya daripada perasaan khusyuk dan ikhlas kita yang patuh kepada perintah dan meninggalkan laranganNya? Kiranya ada manfaat maka apakah hakikatnya manfaat itu? Adakah sasaranya semata-mata perintah Allah yang kita mesti melaksanakannya?

"Aku tidak berhajatkan rezeki sedikitpun dari mereka itu dan aku tidak menghendaki mereka memberi Aku makan." Adz-Dzaariyaat : 57

"Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah, dan Allah Dialah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji." Faathir : 15

"Barangsiapa yang mengerjakan amal yang soleh maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri." Fussilat :46

"Dan barangsiapa yang mensucikan diri mereka, sesungguhnya ia mensucikan diri untuk kebaikan diri sendiri." Faathir : 18
"Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya untuk dirinya sendiri." Al-Ankabut : 6

Penutup

Kita seharusnya menyedari betapa pentingnya untuk kita mengetahui serta membezakan konsep ibadah yang ditentukan olah Islam dan bukan Islam. Ibadah merupakan pengabdian diri yang berterusan kepada Allah, mengamal serta mengikuti kehidupan sebagaimana yang ditentukan olehNya sepanjang masa. Tidak cukup bagi kita dengan hanya mengerjakan ibadah khusus semata-mata dan meninggalkan ibadah yang lebih umum. Pun begitu tidak harus ibadah umum melalaikan kita dari ibadah khusus. Keimanan menuntut kita merealisasikannya di dalam kehidupan:

"Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan : `Tuhan kami ialah Allah' kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan): `Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih, dan gembirakanlah mereka dengan (memperolehi) syurga yang telah dijanjikan olah Allah kepadamu." Fussilat : 30

Sebagai seorang Pejuang, perlu ada ilmu yang jelas mengenai Ibadah. Perlu punyai Ilmu mengenai Ibadah. Bukan sekadar mengikut secukup rasa tanpa pengertian Ilmu yang jelas. Jika tidak, pastinya tergolong dari golongan yang bertaqlid. Walhal, Islam melarang dari bertaqlid.

Firman ALLAH :

"mengapa tidak ada sekelompokpun dari setiap golongan mereka itu yang berangkat untuk menambah ilmu pengetahuan agama" At Taubah: 12

Maka, di sini, saya bukakan untuk diulaskan atau penambahan dari sahabat-sahabat, sahabiah –sahabiah ataupun tuan-tuan dan puan-puan , ustaz-ustazah yang lebih mahir dari saya yang daif ini.

Wallahualam

Mohamad Syukrani
http://mohd- syukrani. blogspot. com

Rujukan:
1)Kitab Mattlaal Badrain oleh Syeikh Muhammad bin Daud Al-Fatani

2) Ringkasan Ibadah oleh Ibnu Rahmat .

3) Kitab Minhajul Muslim oleh Abu Bakar Jabir Al-Jazairi .

4) Fiqh Syafii oleh Hj.Idris Ahmad S.H.

5)Khusyuk dalam Solat oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

6)Pesan-pesan terbesar Al Quran oleh Proffesor Dr Fazlur Rahman

4 comments:

  1. Salam alayk'.. wah, ada peningkatan pejuang2 dr Sarawak nie.. Usrah online.. Bagus2.. Penerangan yang cukup bagus mengenai ibadah terutamanya merujuk kepada kitab Kitab Mattlaal Badrain oleh Syeikh Muhammad bin Daud Al-Fatan..

    ReplyDelete
  2. Salam'alayk, ana cukup terkejut apabila nta sebut nta merujuk kitab Matlaal Badrain, ana terfikir cne mok carik kitab ya kt Sarawak tok.

    ReplyDelete
  3. InshaALLAH, ada peluang, ana carikkan di KL...

    =), susah juak carik kitab kedak ya...lagik2 kitab Kuning...

    Wallahualam..

    ReplyDelete
  4. Asslm..sy student unimas...ana tinggal daerah mana?

    ReplyDelete