Friday, April 20, 2007

Islam dan Nasionalisme

Islam dan Nasionalisme
Aqil Fithri10:55pm 23 Dis 2004
“Saya seorang nasionalis, tetapi nasionalisme saya ialah kemanusiaan!” – Mahatma Gandhi
Akar nasionalisme
"Kami hanya mengikuti warisan nenek moyang kami!" demikian celoteh bangga umat Nabi Shaleh. "Bangsa Aryan adalah pilihan para dewa", teriak Shah Iran. "Kehadiran negara Jerman raya adalah kemestian sejarah, sebab hanya bangsa ini saja yang layak memimpin dunia!" Demikian Hitler berslogan dalam ‘Mein Kampf’.
Cukup idiomatik. Persis sesamanya - di mana semua ucapan di atas adalah bersumber dari rasa kebanggaan primordialisme bangsa dan ras yang akhirnya membawa kepada legitimasi, dominasi dan kuasa mutlak bangsa ke atas suatu bangsa lain. Puncanya, kerana kesukaran mereka untuk melepaskan diri dari tradisi leluhur. Buat mereka, inilah nasionalisme tulen dan inilah juga patriotisme yang tuntas.
Sebaliknya hakikat yang bersemi, menunjukkan nasionalisme mempunyai penafsiran yang berbeda, malah lebih organik sifatnya. Malah, dalam mendefinasikan nasionalisme, kita seharusnya tidak terperangkap dengan istilah patriotik, kerana makna patriotik hanya terbatas dalam manifestasi diri terhadap negara melalui sebarang perlakuan, pengungkapan, penulisan dan ekspresi diri. Manakala nasionalisme pula dimaknai sebagai emosi individu atau publik di atas satu landasan persaudaraan terotikal, historikal, bahasa dan cita-cita unggul di atas prinsip moral dan politik demi membela kepentingan negara-bangsanya. Daripada dua gambaran perbezaan inilah, nyata sekali antara nasionalisme dan patriotisme adalah pemikiran yang membawa kefahaman yang berlainan, namun tidak di dapat dinafikan ia mungkin ada beberapa titik persamaan.
Di dalam dunia hari ini, apabila kita merujuk kepada kelahiran sesebuah negara melalui pengobaran semangat nasionalisme, ia adalah berkait rapat dengan kelangsungan lima teori utama dalam proses pembinaan sesebuah negara. Ini termasuklah, teori semulajadi (natural theory), teori ketuhanan (divine theory), ketuanan raja (divide right of king), kontrak sosial (social contract) dan teori kekerasan (hardliner theory). Kelima-lima kategori ini secara tidak langsungnya telah membantu kita untuk mengklasifikasikan corak pemerintahan sesebuah negara-bangsa yang ada.
Justeru, dalam rangka kita untuk menjejak akar nasionalisme, seharusnya kita menghimbau kembali intipati era renaissance, kerana di sana ada beberapa faktor rinci yang telah mencetus dan merangsang idealogi nasionalisme dalam bangsa Eropah serta dunia secara amnya. Pertama, jatuhnya hukuman pembakaran hidup-hidup ke atas Rektor Universiti Praha (Prague), John Hus di Konstanz ( Konstaz adalah satu daerah di perbatasan antara Switzeland dan Jerman). Kedua, tercetusnya perperangan Hussenitz di Bohemia dan Moravia sehingga membangkitkan semangat nasionalisme di kalangan rakyat Czech. Perlu diketahui, perperangan Hussenitz ini tercetus ekoran reaksi amarah rakyat Czech terhadap pembunuhan John Hus. Ketiga, kelahiran gerakan reformasi pimpinan Martin Luther yang lantang mengkritik kebobrokan institusi gereja Katolik. Dan kelima, terdapatnya terjemahan kitab Bible dalam bahasa Jerman sehingga ia menerbitkan rasa keunggulan bangsa Aryan di dalam rakyat Jerman. Maka daripada kelima-lima faktor ini, maka dapatlah kita rumuskan bahawa nasionalisme adalah idealogi yang bermuara di Eropah ketika era renaissance di mana salah satu objektifnya asalnya adalah untuk menanamkan kesedaran nasional di kalangan rakyatnya yang telah sekian lama ditindas dan dizalimi. Rousseau, salah seorang pemikir revolusi Perancis upamanya, ketika berbicara mengenai kedaulatan rakyat, seringkali beliau menekankan peri-pentingnya penyuburan idealogi nasionalisme kerana baginya, inilah idealogi yang menjadi sumber kebangkitan masyarakat.
Impak daripada seruan demi seruan oleh Rousseau dan juga Voltaire, idealogi nasionalisme akhirnya berjaya menjelmakan revolusi Perancis dan seterusnya membuka era pencerahan (englightment) di seluruh benua Eropah. Justeru itu, nasionalisme yang pada peringkat permulaan seruannya adalah di asaskan dari hasrat murni ke arah mencapai; Liberte (kebebasan), Equalite (persamaan) dan Fraternite (solidariti)!
Sementara itu dalam sejarah Islam, idealogi nasionalisme mula menyerap masuk ke dalam pemikiran ummah ketika penghujung era empayar Ottoman yang ketika itu di bawah kepimpinan Sultan Abdul Hamid II di Turki. Ketika ini, empayar Ottoman sedang menghadapi krisis dalaman yang kronik di serata tanah naungannya (Hamid Enayat 2001: 171). Dalam keadaan inilah, negara Barat (seperti Britain dan Perancis) telah bijak mengambil kesempatan dengan mengalakkan penubuhan pergerakan-pergerakan yang berunsurkan nasionalisme di samping cuba untuk membudayakan sistem kepartian di tanahair muslim. Selain bertujuan untuk memusnahkan empayar terakhir dalam sejarah Islam itu, tindakan Barat ini juga bertujuan untuk memisahkan-misah tanahair Islam kepada sekte-sekte bangsa yang tertentu. Walhasilnya, daripada kuatnya pengaruh idealogi nasionalisme yang disemarakkan oleh Barat ini, maka lahirlah pergerakan yang dinamakan seperti al-Fatat (pertubuhan untuk membahagikan negara-negara di bawah naungan empayar Ottoman) dan al-Ahd (pergerakan nasionalis Arab).
Kita sebenarnya tidak perlu melihat jauh untuk membuktikan hidden agenda Barat dalam menyebarluaskan idealogi nasionalisme di kalangan tanahair muslim. Satu contoh yang terkenal dalam sejarah Islam dan Arab ialah; bagaimana British telah membantu secara ekonomi dan politik terhadap perjuangan Syarif Husain di Hijaz supaya mereka bangkit memberontak terhadap empayar Ottoman yang berpusat di Turki. Dalilnya cukup mudah; masyarakat Arab telah sekian lama di zalimi oleh empayar Ottoman dan kini tibalah detik perjuangan pembebasan mereka. Maka, bertitik tolak dari gambaran inilah, terbukti bahawa niat murni di awal kelahiran idealogi nasionalisme di negara-negara Eropah, akhirnya ia telah di salahgunakan di dunia Islam - semata-mata untuk memisahkan tanahair muslim kepada etnik-etnik induk seperti; Arab, Turki, Parsi dan Kurd.
Antara nasionalisme Barat dengan Timur
Apa perbezaannya, antara Jose Rizal dengan Adolf Hitler? Atau, antara Umar Mukhtar dengan Mossoulini? Juga, antara Bhagat Singh dengan Winston Churcill? Walhal kedua-duanya adalah berjiwa nasionalis sejati pada kacamata rakyatnya!
Justeru, dalam meleraikan persoalan di atas, kita boleh menyoroti sejauh mana tokoh-tokoh ini memaknai nasionalisme menurut mazhab kebenaran, kebebasan dan keadilan. Hitler, Mossoulini dan Churcill merupakan karekter kelahiran Barat yang berjiwa nasionalis dalam versi; menakluk dan memperluaskan tanah jahahannya. Sebaliknya Rizal, Mukhtar dan Bhagat pula adalah nasionalis Asia yang berjuang demi untuk membebaskan tanahairnya daripada cengkaman para imperialis. Mereka-mereka ini bernuasa dari dua aliran pemikiran yang berbeza dan dari dua benua yang berbeza. Masing-masing adalah oposisi sesamanya. Jadi, antara mereka, inilah asas ketara perbezaan nasionalisme Barat dengan Timur. Beza pada pemaknaannya.
Kedatangan Barat ke Timur telah memprofil nasionalisme ke dalam beberapa ciri. Di antara dua ciri utamanya ialah; imperialisme dan koloniolisme. Dan, terdapat tiga tujuan imperialisme menurut rencanaan Barat iaitu; misi menyebar idealogi, kebudayaan dan agama, mengeksplotasi sumber ekonomi Timur dan merebut kekuasaan ke sesuatu wilayah. Manakala kolonialisme pula membawa maksud yang lebih komprehensif di mana ia merupakan satu kekuatan menyeluruh; ekonomi, politik, sosial – sesebuah bangsa untuk menakluki bangsa yang lain di tanahairnya sendiri.
Sebenarnya, sikap hagemoni Barat ini memang tidak perlu kita hairankan. Mengapa? Kerana Barat ketika itu merasakan geografi negaranya kecil dan lantaran itu, mereka telah membuat keputusan untuk meneroka dan mencari tapak-tapak baru di pelbagai belahan dunia terutamanya di Timur bagi memperluaskan geografi kekuasaannya (Hashemi Rafsanjani 2001: 71). Kerana dorongan inilah, maka negara-negara Barat yang kecil seperti Portugal, Sepanyol dan Belanda mampu untuk menakluk negara-negara di Asia Pasifik yang luas semata-mata untuk menyempurnakan agenda imperialisme; keagungan misi kebangsaan, memanipulasi kemakmuran ekonomi Timur dan mendominasi sesebuah wilayah sebagai tanah jajahannya.
Ironinya, tatkala era kolonialisme sepatutnya telah berakhir, dunia kini masih meneruskan rentetan kolonialisme dengan kemunculan neo-kolonialisme – yang membawa misi penjajahan baru terhadap negara miskin dan negara membangun. Pengamalan neo-kolonialisme oleh Barat ini tidak lain dan tidak bukan, merupakan nestapa baru bagi umat manusia yang kononnya di katakan telah bertamadun. Benarlah apa yang dirintihkan oleh Chairil Anwar, pujangga nasionalis Indonesia “sekali bererti, sesudah itu mati” (Khalid Jaafar 2003: 132).
Manakala dalam membicarakan mengenai perjuangan nasionalisme di Timur ia lebih menjurus kepada perjuangan rakyat untuk membebaskan tanahairnya dari cengkaman penjajah. Bangsa-bangsa di Timur telah melahirkan satu sikap penentangan dan anti-penjajahan Barat. Mungkin tidak dapat di nafikan dalam satu aspek yang berbeza, antara sumbangan besar imperialisme Barat ialah, mereka melahirkan pahlawan-pahlawan Asia seperti; Jose Rizal, Umar Mukhtar, Daud Berueh, Bhagat Singh, Mahatma Gandhi dan Ahmad Boestamam.
Namun begitu, disebalik kecaman keras kita terhadap Barat angkara penindasannya yang dilakukannya, sebenarnya terdapat juga tindakan ‘mirip Barat’ dari kalangan negara-negara Asia sendiri. Jepun misalnya, telah menakluk hampir satupertiga negara-negara Asia semasa Perang Dunia Kedua sebelum ia ditundukkan oleh Amerika Syarikat selepas gugurnya bom Atom di Hiroshima dan Nagasaki. Sama seperti Barat, keinginan dan rencana Jepun ketika itu adalah terbit daripada fanatik nasionalismenya yang cukup tinggi untuk menakluk seluruh Asia. Di samping itu, bagi tentera dan rakyat Jepun, ketaatan kepada maharaja dan pemerintahnya adalah kemuncak pengabdian seorang rakyat terhadap pemerintah serta lambang kesempurnaan nasionalismenya.
Begitu juga dengan China. Mao Zedong, pemimpin revolusi rakyat China, adalah pemimpin yang cuba untuk merealisasikan ketetapan dasar luar - satu china. Implikasi dari dasar ini, maka negara teologi Tibet yang dipimpin oleh Dalai Lama telah diserang dan ditakluk oleh China meskipun kedua-dua negara tersebut berbeda perjalanan sejarahnya. Dalai Lama pemimpin agung Buddha Tibet secara monarkinya telah sekian lama memimpin masyarakat Tibet dengan penuh keharmonian dan keamanan. Kendatipun begitu, dengan kehadiran tentera rakyat China, Tibet telah menjadi medan pertempuran yang tidak berkesudahan – hingga kini! Jadi, di sebalik kezaliman Barat yang jelas terpapar, sebenarnya turut terselit segelintir bangsa Asia yang menganut fahaman nasionalisme menurut versi Barat. Kesantunan Asia yang di kagumi oleh masyarakat dunia akhirnya tercemar dek keangkuhan dan kebanggaan yang ekstrim terhadap status bangsanya.
Nasionalisme dalam perspektif Al-Banna, Khomeini, An-Nadawi
Imam Hassan Al-Banna, adalah pengasas pergerakan Ikhwanul Muslimin. Beliau pernah merasai hidup derita di bawah penjajahan Barat. Maka bertitik tolak kondisi sebeginilah, wujud semacam perasaan revolusioner dalam dirinya untuk membebaskan Mesir dari belenggu penjajahan British. Lantas, melalui Ikhwanul Muslimin, beliau menyemarakkan semangat nasionalisme di kalangan rakyat Mesir untuk bangkit mencantas kolonialisme British melalui usaha diplomatik dan pelbagai siri demostrasi di atas pelbagai isu seperti; konflik Palestin-Israel, eksploitasi terusan Suez dan pengaruh budaya Barat yang kian menular di sekitar Kaherah.
Alternatif dari moqawama (penentangan) Al-Banna adalah bertujuan untuk menegakkan negara Islam dengan tiga teras kenegaraannya; tanggungjawab pemerintah melindungi kepentingan rakyat, wehdatul ummah dalam ikatan keagamaan dan penghormatan hak rakyat oleh pemerintah. Inilah tiga tawaran Al-Banna dan Ikhwanul Muslimin kepada rakyat Mesir bagi mengantikan sistem penjajah yang diamalkan oleh monarki Mesir pada ketika itu (Siddiq Fadhil 1999: 14).
Di sepanjang liku kehidupannya, Al-Banna telah memperlihatkan kematangan dan kebijaksaan sebagai seorang pemimpin besar. Beliau adalah pemimpin yang dilahirkan untuk ummah (born for Ummah). Di waktu memuncaknya idealogi nasionalisme di Mesir, Al-Banna dengan pintar telah mengadunkan idealogi tersebut dengan Islam. Tanpa menolak nasionalisme secara total, Al-Banna menampilkan corak nasionalisme yang berorientasikan kepada kebanggaan terhadap prestasi cemerlang generasi silam, dengan hasrat untuk meneladani kejayaan terdahulu. Pemaknaan nasionalisme sebeginilah dinamakannya sebagai Qawmiyyat al-Majd (nasionalisme keagungan). Manakala, Al-Banna menolak pemikiran nasionalisme dalam erti kata yang mendukung pemugaran budaya pra-Islam sebagaimana langkah kaum nasionalis sekular di Turki yang telah menghapuskan segala simbol dan identiti yang bersifat keislaman pasca kejatuhan empayar Ottoman. Inilah nasionalisme yang diistilahkan oleh beliau sebagai Qawmiyyat al-Jahiliyyah (nasionalisme al-jahiliyyah) yang sewajarnya dihindari oleh setiap muslim (Siddiq Fadhil 1999: 15).
Dalam pemikiran Ruhollah Khomeini, pendiri Republik Islam Iran, nasionalisme telah diketengahkan oleh beliau dalam method yang logikal dan islamik. Beliau menyifatkan kecintaan terhadap watan (tanahair) serta mempertahankan sempadan negara adalah sesuatu perkara yang boleh diterima (Kalim Siddiqui, 1985: 21). Namun, bagi beliau nasionalisme yang mendorong kepada permusuhan antara negara-negara Islam adalah perkara yang berbeza perspektifnya (mungkin ucapan beliau ketika ini merujuk kepada tercetusnya perperangan Iran - Iraq yang digelarnya sebagai perperangan yang di paksakan dan perperangan yang diplot oleh Barat untuk memusnahkan revolusi Islam Iran).
Di samping itu, Khomeini dalam merumuskan penolakan terhadap versi nasionalisme Barat, menyifatkan nasionalisme seupama ini boleh mengundang permusuhan antara masyarakat Islam serta mengugat perpaduan ummah. Selain daripada itu, nasionalisme seperti ini jelas bercanggah dengan ajaran Islam serta aspirasi ummah itu sendiri. Umat Islam pada anggapan beliau, mampu untuk berdiri sendiri tanpa bergantung dengan mana-mana kekuatan mahupun mana-mana idealogi (Kalim Siddiqui 1985: 22). Antara bukti ketegasan dan keyakinan Khomeini ialah melalui pelaksanaan polisi luar Tehran iaitu; “la syarqiah, la gharbiyah, jumhuriyyah Islamiyyah” (tidak Timur, tidak Barat, tetapi revolusi Islam).
Manakala, dimensi pemikiran Sayyid Abul Hasan Ali An-Nadawi mengenai nasionalisme lebih radikal namun masih tetap menarik untuk ditelusuri. Dalam adikaryanya “Maadza khasiral ‘aal’am, Binhithatil muslimin” (derita dunia bila Islam mundur), beliau telah membentang secara panjang lebar mengenai bahaya idealogi nasionalisme. Menurut An-Nadawi, berkembangnya fanatik nasionalisme di Eropah adalah dipengaruhi oleh pembahagian dua belahan dunia; Barat dan bukan Barat. Jadi, dengan memisahkan dunia kepada dua belahan, maka ia telah mewujudkan dua kelas manusia; kelas mulia dan kelas hina, kelas tinggi dan kelas bawahan. Tanggap An-Nadawi lagi, corak pemikiran ini merupakan lanjutan daripada pemikiran yang dianuti oleh kaum Yahudi yang mana mereka melabelkan manusia selain bangsanya sebagai ‘goyem’.
Waima, apa yang dikesalkan oleh An-Nadawi ialah sikap fanatik nasionalisme ini akhirnya telah berjaya menyerap masuk ke dalam pemikiran umat Islam. Pada An-Nadawi, pudarnya penghayatan Islam di kalangan negara-negara Islam merupakan faktor utama yang mendorong penularan fenomena ini. Bahkan tambah An-Nadawi lagi, negara-negara Islam ini tampaknya lebih terpesona dengan idea nasionalisme menurut versi Barat yang kononnya didakwa mampu memodenkan sesebuah negara (Abul Hasan An-Nadawy 1986: 202). .
An-Nadawi tidak meninggalkan kenyataan ini tanpa pembuktian. Beliau membawa contoh mengenai kebangkitan golongan Turki Muda yang telah bersengkokol dengan Mustafa Kamal Attaturk untuk mengulingkan empayar Ottoman (Abul Hasan An-Nadawy 1986:199). Golongan Turki Muda inilah yang menjaja idealogi nasionalisme bagi mengantikan gagasan pan-Islamisme. Mengenang peristiwa inilah, An-Nadawi memperingatkan kita dengan memetik rakaman al-Quran dalam surah al-Hasyr: 16 yang bermaksud; “pujukan orang-orang munafik itu adalah seperti pujukan syaithan, ketika dia berkata kepada manusia: kafirlah kamu, maka tatkala manusia itu telah kafir ia berkata: sesungguhnya aku berlepas diri dari kamu”.
Keseluruhan pemikiran An-Nadawi tentang nasionalisme ini seolah-olah mengajak kita untuk menolak nasionalisme secara total dengan menawarkan Islam sebagai jalan penyelesaian mutlak - dalam sebarang pemasalahan manusia. Pada beliau, nasionalisme tidak lebih sebagai propaganda ciptaan Barat untuk melambatkan kebangkitan Islam yang telah dijanjikan.
Dikotomi Islam - nasionalisme dalam pemikiran Dr. Burhanuddin al-Helmy
Dr. Burhanuddin Al-Helmy adalah sosok yang paling layak untuk di amati, andainya kita memperkatakan mengenai dikotomi Islam dan nasionalisme. Pemikiran politik beliau sentiasa menekankan tiga aspek terpenting dalam perjuangan beliau iaitu; kemerdekaan, kebangsaan Melayu dan Islam (Kamarudin Jaafar 2000: 9). Hujah yang beliau kemukakan sebagai sandaran ialah; “kasihkan watan itu adalah sebahagian daripada iman” – dari untaian hadith Rasulullah saw. Dalam rangka untuk menyoroti lebih mendalam pemikiran tiga dimensi beliau ini, eloklah kita himbau kembali penegasan yang pernah dibuatnya dalam tulisan beliau yang bertema ‘Perjuangan Kita’;
“Iman berdiri di atas tubuh. Tubuh berdiri di atas bangsa dan bangsa berdiri di atas watan. Salah satu daripada yang empat ini tiada boleh bercerai tinggal dalam binaannya tetapi watan jadi pokok. Ada watan ialah dengan kuat bangsa. Kuat bangsa keluar dari tubuh diri yang sihat kuat dan perkasa seperti pekerja, pahlawan, prajurit dan lain-lain. Maka dalam jiwa pekerja pahlawan prajurit itulah terletaknya iman” (Kamarudin Jaafar 2000: 48).
Apa yang terserlah di sini, Dr. Burhanuddin cuba untuk menyelesaikan dikotomi antara Islam dan nasionalisme dengan mencorakkan perjuangan nasionalisme sebagai sebahagian daripada elemen perjuangan Islam. Pemikiran progresif Dr. Burhanudin ini sebenarnya setaraf dengan pemikiran pemimpin – pemimpin kemerdekaan di Asia pada ketika itu seperti Mahathma Gandhi, Sukarno dan Sir Muhammad Iqbal. Mungkin persamaan ini terbentuk kerana pengaruh pendidikan Dr. Burhanuddin yang pernah menuntut di India. Semasa beliau menuntut di Ismaeliah Medical College dan Aligarh Muslim University, beliau berkesempatan untuk mengikuti dan mendalami doktrin perjuangan Gandhi, Ali Jinnah dan Jawaharlal Nehru – untuk beliau menyesuaikan nasionalisme mereka dengan corak perjuangan di Tanah Melayu, sekembalinya nanti.
Namun begitu, perlu ditegaskan disini bahawa perjuangan kebangsaan Melayu Dr. Burhanuddin bukanlah berniat untuk menindakkan hak-hak etnik lain untuk hidup harmoni di Tanah Melayu. Sebagai pemimpin yang bersifat negarawan, beliau tidak menzahirkan dirinya sebagai pemimpin cauvinis yang ekstrim ataupun assabiyyah sepertimana yang diwar-warkan oleh musuh politik beliau. Pendirian beliau ini ditegaskan dalam tulisannya yang bertema ‘Falsafah Kebangsaan Melayu’;
“Kita hendak mendirikan negara kebangsaan Melayu di atas dasar kebangsaan, menurut keadilan dan kemanusiaan yang luas sama berhak dan adil, bukan sesekali kebangsaan yang sempit, jauh sejauh-jauhnya dari berbau perkauman dan perasaan yang kolot dan kuno” (Kamarudin Jaafar 2000: 110).
Dalam sisi Islam pula, Dr. Burhanuddin melihat nasionalisme sebagai wasilah (alat) bukannya ghayah (matlamat). Menurut beliau, nasionalisme mengambil posisi selunak yang mungkin serta menjadi lambang yang boleh mengembeleng segala kekuatan ummah demi mencapai cita-cita mulia yang luhur dan abadi. Dalam ‘Falsafah Kebangsaan Melayu’, - sesudah memetik surah al-Hujurat: 13, sambil menafsir ayat tersebut - beliau merintih, “apalah ertinya perkenalan jika tidak terlebih dahulu terdiri kekuatan kaum dan bangsa yang hari ini dikenal dengan kebangsaan itu dengan suatu kebangsaan yang lain” (Kamarudin Jaafar 2000: 95).
Bagi menjawab pelbagai tuduhan dan tohmahan pemerintah Tanah Melayu dan pihak penjajah, Dr. Burhanuddin dalam ucapan beliau sebagai Yang Dipertua PAS ketika muktamarnya pada tahun 1957 telah mengungkapkan dengan penuh bersemangat tentang pendiriannya, “sesungguhnya saya dan pihak Parti Islam tidaklah berbau komunis dan imperialis, saya dan PAS adalah berisi, bersifat, berbau kebangsaan Melayu dengan cita-cita Islam” (Kamarudin Jaafar 2000: 18). Sejarah menyaksikan, dengan kenyataan tegas Dr. Burhanuddin ini, beliau telah membuktikan bahawa dirinya adalah antara tokoh yang banyak berjasa demi melihat Tanah Melayu hidup aman, makmur dan harmoni sepertimana yang diimpikannya. Mudah-mudahan pengorbanan suci beliau ini, dinilai secara adil oleh generasi selepasnya.
Dinamika Nasionalisme dalam era globalisasi
Ciri globalisasi yang instantness telah menjelmakan satu fenomena baru yang sangat kompleks. Muktahir ini, memang tidak dapat dinafikan bahawa kehadiran globalisasi telah memberikan impak besar kepada idealogi nasionalisme yang meluas dipraktikkan di kebanyakan negara-bangsa pasca Perang Dunia ke-II.
Kenichi Ohmae pernah menyatakan bahawa masa depan negara-bangsa laksana dinasour yang sedang menanti kunjungan ajal. Begitu juga Daniel Bell dalam bukunya “The end of idealogy” yang di terbitkan puluhan tahun sebelum tamatnya era perang dingin - di mana zaman idealogi-idealogi bersaing merebut pengaruh masing-masing - telah membentangkan pandangannya bahawa persaingan idealogi sudah tidak relevan lagi dengan peredaran zaman termasuklah juga idealogi nasionalisme.
Apakah yang mendorong pemikir-pemikir ulung ini berteori sedemikian? Tidak lain, kerana wujudnya paradoks antara arus sejagat dengan idealogi-idealogi, termasuklah idealogi nasionalisme. Dalam membahas persoalan rumit ini, kita perlu menyedari bahawa posisi nasionalisme dalam arus globalisi telah dipolarisasi kepada dua situasi; nasionalisme di negara maju (baca: Barat) dan nasionalisme di negara membangun (baca: negara-bangsa).
Sejak dua dekad lalu, globalisasi telah membentuk jurang yang tidak adil atau bias kepada kelompok negara-bangsa yang kebanyakan terdiri daripada negara-negara membangun. Hal ini terjadi kerana negara-negara maju telah mengeksploitasi daya kekuatan ekonominya melalui sistem pengantarabangsaan ekonomi – ke arah merealisasikan misi neo-kolonialisme mereka. Susulan daripada eksplotasi inilah yang menyebabkan pengaruh idealogi nasionalisme mula terancam kalangan negara-bangsa. Di samping itu, wujud juga di kalangan elit ekonomi dan politik sesetengah negara-bangsa yang terbuai dengan retorika globalisasi cerminan Barat (Abdul Rahman Embong 2000: 76).
Globalisasi kini telah menghakis emosi nasionalisme. Dengan pengamalan sistem laissez faire di kebanyakan negara-bangsa, kekayaan negara dan kuasa membeli rakyat menjadi rebutan Barat. Dewasa ini, persoalan kekentalan nasionalisme di kalangan rakyat negara-bangsa mula diperdebatkan. Masakan tidak! Rakyat negara-bangsa kini lebih memuja produk Barat sambil memperlekehkan produk nasionalnya. Ya, mungkin salah satu faktor yang mendiskreditkan nasionalisme ialah kualiti produk nasional, dimana produk nasional jelas gagal bersaing dengan produk Barat - dalam majoriti aspek. Rentetan daripada situasi ini, nilai-nilai nasionalisme di kalangan rakyat negara-bangsa secara tidak langsungnya turut terhakis sekali. Maka tidak dapat dielakkan lagi, bahawa nasionalisme mula dihimpit oleh arus globalisasi.
Jadi, inilah cabaran yang perlu ditangani oleh nasionalisme. Tidak mustahil jika fenomena ini makin rancak dan berterusan, maka idealogi nasionalisme boleh berkubur di telan arus globalisasi yang diprakarsai oleh Barat. Bertolak dari kesedaran inilah, maka perlu tampil satu resolusi yang tegas dan jelas sebagai mempertahankan maruah negara-bangsa iaitu; Islam!
Jawapan Islam!
Sementelah kita membahaskan mengenai idealogi nasionalisme dalam pelbagai konteks; Barat dan Timur, sorotan pemikiran dari tokoh tersohor dan fungsinya dalam arus globalisasi, maka ia menyakinkan kita bahawa idealogi nasionalisme bukanlah penyelamat tunggal kepada kemanusiaan dunia. Bagi Kalim Siddiqui (1985: 1), nasionalisme tidak lebih sebagai doktrin politik yang menyerang umat Islam dalam tempoh 100 tahun muktakhir ini.
Jadi, apa jawapan Islam terhadap nasionalisme? Menolak nasionalisme; membentuk gerakan Islam di seluruh dunia! Tegas Siddiqui. Dan, kini, sudah tiba saatnya, bagi umat Islam menyakini akan kemampuan Islam dalam mengurus kehidupan di samping mengikis rasa hormat yang tinggi terhadap Barat. Sungguhpun melangit tinggi keazaman kita untuk melakukan tranformasi total ini, namun masih adalah kriteria yang perlu dilengkapi sebelum hasrat kita dapat direalisasikan. Menurut Siddiqui lagi, dunia Islam dan dunia seluruhnya memerlukan seorang pemimpin yang bersifat inklusif, global dan berwibawa. Hanya dengan lengkapnya syarat ini sahaja untuk membolehkan dunia menjadi satu negara-bangsa sahaja (Kalim Siddiqui 1985: 16).
Manakala Mohamad Abu Bakar (2000: 14) melihat orde Islam sebagai alternatif. Dengan melihat keutuhan negara-bangsa sebagai unit teras dan terpenting dalam pentas politik dunia, maka menurut beliau, sebarang perubahan drastik dan dramatis hanya boleh berlaku sekiranya pensejagatan nilai-nilai Islam yang memungkinkan orde Islam yang memerintah negara-bangsa dan dunia sekaligus. Pada beliau, inilah keadaan final sepertimana yang dimaksudkan oleh Hassan Turabi. Turabi menegaskan, “jika kesemua pergerakan Islam menjadi negara Islam, maka imbangan antarabangsa akan turut berubah”.
Khulasahnya, dunia Islam mesti berubah. Meskipun sejumlah besar anggota ummah dewasa ini berada dalam diaspora, namun peluang pensejagatan Islam untuk membesar tetap cerah - selagi ummah bergerak dalam homo islamicus (manusia Islam sebenar). Samada melalui idea Siddiqui mahupun idea Turabi, masing-masing ada satu persamaan iaitu; keyakinan kepada kejayaan Islam seluruhnya. Lantaran itu, campakkanlah segala akar umbi idealogi nasionalisme dari minda ummah dan marilah kita sama-sama gerakkan satu kekuatan raksasa; mensejagatkan Islam dalam kehidupan dunia. Biarlah dunia akan datang beroperasi dalam kerangka Islam. Percayalah, nun jauh disana ada cahaya bagi kemenangan Islam bukan hanya kemenangan muslim semata-mata.
Rujukan:
Abdul Rahman Embong. 2000. Malaysia Menangani Globalisasi, Peserta atau Pemangsa? Di sunting oleh Noraini Othman dan Sumit K. Mandal. Cetakan Pertama. Bangi, Selangor. Penerbit UKM.
Abul Hasan An-Nadawy. 1986. Apa Derita Dunia Bila Islam Mundur. Terjemahan H. Zubeir Ahmad. Cetakan pertama. Malaysia. Thinkers Library Sdn Bhd.
Ali Akbar Hashemi Rafsanjani. 2001. Keadilan Sosial: Pandangan islam tentang HAM, Hagemoni Barat & Solusi Dunia Modern. Diterjemahkan oleh Anna Farida. Cetakan Pertama. Bandung, Indonesia. Penerbit Nuansa.
Hamid Enayat. 2001. Modern Islamic Political Thought. Kuala Lumpur. Islamic Book Trust.
Kalim Siddiqui. 1985. Negara Nasionalisme Penghalang Pembentukan Ummah. Terjemahan Mahzan Ahmad. Cetakan pertama. Kuala Lumpur. Pustaka Al-Alami.
Kamarudin Jaafar. 2000. Dr. Burhanuddin Al-Helmy: Pemikiran dan Perjuangan. Cetakan Kedua. Kuala Lumpur. Penerbit Ikdas Sdn Bhd.
Khalid Jaafar. 2003. Tumit Achilles. Cetakan Pertama. Kuala Lumpur. Institut Kajian Dasar.
Prof. Madya Dr. Siddiq Faddil. 1999. Hasan Al-Banna: Kepoloporannya Dalam Gerakan Reformasi. Cetakan Pertama. Kuala Terengganu. Yayasan Islam Terengganu.
Prof. Madya Mohamad Abu Bakar. 2000. Pensejagatan Islam dan Perpaduan Ummah: Menelusuri Politik Antarabangsa Masa Kini. Cetakan Pertama. Kuala Terengganu. Yayasan Islam Terengganu.

Thursday, April 19, 2007

Kerana janji

Sedetik waktu,ku menanti namaku dipanggil untuk menghadap doktor untuk minor surgery.Lantas mindaku terus dibuai kenangan2. Semalam,aku bersama2 rakan seperjuanganku di Miri.Lantaran,terasa kerdil aku di sisi Tuhan yang Maha Esa.Siapalah aku jika dibandingkan dengan mereka.Mereka di kalangan Pegawai Eksekutif,Doktor,Lecturer,Engineer,Cikgu,Ustaz...(golongan elite),sedang aku hanyalah seorang penuntut yang belum menamatkan pengajian di IPTA yang tak seberapa dikenali masyarakat.Jauh di lubuk hati,mengerti kebenaran.Tapi itu adalah pandangan zahiriah.Sedang dari pandangan Lahiriahnya,wajib untuk ku bersama2 mereka,kerana telah berjanji setia,menadah panji,berikrar kepada Yang Esa untuk memperjuangkan Agama.Lantaran itulah yang membawaku ke sana.Itulah kalimah sucinya yang diungkap oleh kita semua setiap hari."Aku bersaksi tiada tuhan melainkan ALLAH,dan aku bersaksi bahwa Muhammad itu Rasul ALLAH". Itulah janji setia kita kepada perjuangan Islam. Ketahuilah,syahadatul Haq adalah perkara yang asas,sedang yang asas itulah yang membina keseluruhan.Permulaan sesuatu itu daripada asas.macam struktur bahan.Asasnya adalah Atom2,Molekul2...
Asas kita kepada ALLAH adalah janji.Kita dijadikan sebagai manusia kerana Janji.

(Al A'raaf:ayat 172)
dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil ia bertanya Dengan firmanNya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), Kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya Kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".

Maka atas dasar janji,hendaklah kita berpegang pada janji.Kerana janji2 ALLAH itu adalah Janji2 yang tidak dimungkiri,Itulah janji yang maha Agung.Ketahuilah,kita punya bicara tapi tidak punya aturnya maka kita golongan yang memungkiri.

Jangan kerana pekerjaan kita,lantas kita biarkan Janji kita diabaikan.Tidak kira apa pekerjaan kita,tukang sapu ka?tukang kasut ka?tukang gunting ka?Engineer ka?Doktor ka?Pegawai ka?Tapi jika janji itu kita tidak tunaikan,kita tetap hina di sisi Tuhan. Kerana yang menjadi penilaian ALLAH kepada kita adalah Iman dan Taqwa bukannya Kekayaan atau kedudukan.

Tidak ada nilaipun kedudukan dan kekayaan di sisi ALLAH,kerana kedudukan,manusia sanggup berbunuhan,kerana kekayaan manusia sanggup bermati-matian.Lantas,apa hasilnya esok?Ketahuilah orang2 yang memukiri janji adalah di kalangan yang zalim

Al A'raaf ayat 5

maka tidak ada Yang mereka katakan ketika datangnya azab Kami kepada mereka, melainkan mereka (mengakui dengan) berkata: "Sebenarnya Kami adalah orang-orang Yang zalim".

Yunuf ayat 7-8

7. Sesungguhnya orang-orang Yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan Yang reda (berpuashati) Dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang Yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) kami, -
8. mereka Yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan Yang mereka telah lakukan.

Jangan kerana kedudukan kita,lantas kita malu berjuang.Usah kita kirakan malu,kerana ALLAH SWT tidak malu dalam menjadikan kita sebagai manusia.Malah,ALLAH tidak pernah meminta meminta sedikitpun bayaran untuk kita.Sedangkan hidup kita ini hanyalah pinjaman daripadaNya.Bagaimana harus kita tunjukkan kesyukuran kepadaNya?

ALLAH juga tidak sedikitpun memerlukan kita untuk AgamaNYa.Dengan kekuasaanNya,Nya mampu berbuat apa sahaja.Sedang ALLAH berjanji "Barangsiapa yang membantu AgamaKu,maka Aku akan membantuNya" . Maha Suci ALLAH,setelah diberiNya kita pinjaman kehidupan,diberinya ganjaran tak terhingga Nilainya..

Ayuh..Bangunlah kita sebagai manusia yang bersyukur.Bertaqwa dan Beriman kepadaNya.

AYuh..Jangan kita malas,ALLAH tidak sedikitpun berasa Malas menjadikan kita.Jangan kita berkira dengan ALLAH,sedang ALLAH sedikitpun tidak berkira dengan kita,padahal segala sesuatu itu ALLAH jadikan untuk kita hidup di dunia ini...

Akhir Kalam..

Yang mampu diucap adalah pinjaman,

Moga diampun segala silap,kerana manusia itu tidak lari dari silap.

Manusia tidak sempurna..

Hanya Kesempurnaan itu milik ALLAH SWT

Tuesday, April 17, 2007

Segenggam Tabah

From the album “Tiada Lagi Kasih
Bertali arus dugaan tibaMenakung sebak airmataNamun tak pernah pun setitisGugur berderai di pipi
Tidak ditempah hidup sengsaraSuratan nasib yang melandaMenongkah badai bergeloraDiredah bersendirian
Bagaikan camar pulang senjaPatah sayapnya tetap terbang juaSekadar secicip rezekiBuat yang sedang rindu menanti
Segenggam tabah dipertahankanBuat bekalan di perjalananKau bebat luka yang berdarahKau balut hati yang calar
Telah tertulis suratan nasibmuDerita buatmu ada hikmahnyaTerlukis senyum di bibir lesuTak siapa tahu hatimu
Biarpun keruh air di huluMungkinkah jernih di muaraBiarpun jenuh hidup dipaluPasti bertemu tenangnya

Saturday, April 14, 2007

Bicara Tarbiyyah: Usah disiakan masa mudamu!




Usah disiakan masa mudamu!
Mereka berkata: “Kami dengar ada seorang pemuda yang mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim .”
Mereka berkata: “(Kalau demikian) bawalah dia dengan cara yang dapat dilihat orang banyak, agar mereka menyaksikan.”
Mereka bertanya: “Apakah kamu, yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim?”
Ibrahim menjawab: “Sebenarnya patung yang besar itulah yang melakukannya, maka tanyakanlah kepada berhala itu, jika mereka dapat berbicara.”
(QS Ibrahim 14:60-63)
BahanTarbiyyahONline: Sebut sahaja orang muda, remaja, atau dalam bahasa Al-Qurannya fityah, lantas akan kita dapati inilah golongan manusia yang memiliki energy yang kuat dan semangat tinggi untuk menjayakan sesuatu impian. Orang muda dengan jiwa mudanya akan berusaha dengan segala upaya untuk memiliki apa yang diidamkan, berjuang dan rela berkorban atas apa sahaja dasar yang mereka imani.
Tanyakanlah kepada jutawan dunia, Bill Gates dan ramai lagi, dari mana datangnya kejayaan mereka sekarang? Tentu mereka akan berkata, itulah zaman muda kami dahulu yang mana kami taruhkanya untuk melihat dan merasai apa yang kami cita-citakan suatu masa nanti.
Masa muda merupakan masa keemasan setiap anak manusia, masa dimana semua potensi terkumpul dalam beragam bentuk dan warnanya pada diri pemuda. Ketahuilah Ikhwah sekalian, masa muda ini amat dirindui oleh mereka yang telah tua yang mungkin seringkali di dalam kayalannya, “Alangkah indahnya jika aku muda sekali lagi!”
Itulah juga kata Waraqah kepada seorang pemuda yang datang bertemunya, dengan sayu dia berkata alangkah indahnya jika dia masih muda, tentu sekali dia akan berdiri teguh mempertahankan Muhammad. Demi menagkkan risalah, dia akan sanggup mempertaruhkan hidupnya demi menempuh pengorbanan mendaulatkan kalimah Allah.
Ikhwah dan akhawat,
Kerana potensi yang ada pada orang muda, Musollini di Itali, Hitler di Jerman, bangkit untuk memimpin bangsa mereka dalam jangka masa yang singkat. Satu dunia bergegar dengan laungan yang mereka perjuangkan, hinggakan berlaku peperangan besar di dalam dunia yang mengorbankan jutaan manusia. Mereka melaungkan revolusi perubahan, dengan gagasan dan landasan yang padu yang mereka gariskan, demi mencapai apa yang mereka impikan.
Kerana pemuda yang subur fikrah Karl Max itu juga, peta dunia mampu untuk di lakar semula. Bukankah kerana kebangkitan Parti Ittihad Wal Tarakki yang juga di bangunkan oleh orang muda, Kamal Attartuk, akhirnya menjatuhkan apa yang kita perjuangkan sekarang.
Nabi Ibrahim, Ashabul Kahfi, semuanya adalah pemuda
Lihatlah bagaimana kisah perjuangan mempertahankan aqidah yang ditunjukkan oleh Ibrahim. Ibrahim dengan penuh keyakinan diri dan kepetahan hujahnya mampu untuk menghadapi kaumnya yang sesat. Mampu membuktikan imannya demi menegakkan risalah yang murni setelah Ibrahim mendapat hidayah Allah. Cekal dan tabah untuk memusnahkan segala bentuk jahiliyah yang berwenangan didalam kaumnya.
Maka tidak ada yang beriman kepada Musa, melainkan pemuda-pemuda dari kaumnya (Musa) dalam keadaan takut bahwa Fir’aun dan pemuka-pemuka kaumnya akan menyiksa mereka. Sesungguhnya Fir’aun itu berbuat sewenang-wenang di muka bumi. Dan sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang melampaui batas. (QS Yunus 10:83)
Berikut, kisah pengikut kepada Musa yang beriman kepada Allah. Mereka merupakan pemuda yang terpaksa menghadapi penguasa yang amat zalim, yang menindas kaum Bani Israel dan rakyatnya dengan penuh tipuan dan kemunafikan. Tetapi, mereka tetap teguh pendirian menghadapi thogut yang sanggup mengaku dirinya tuhan ini, yang menguasai dan mentadbir negeri Mesir tanpa boleh di ganggu oleh sesiapa.
Begitu juga kisah pemuda Ashabul Kahfi, yang melarikan diri untuk menyelamatkan iman mereka. Yang sanggup menghadapi raja yang zalim dan mengatakan kebenaran.
Mereka adalah pemuda.
Siapa sangka, Islam bangkit daripada tanah arab yang langsung tidak dipandang oleh Rom dan Parsi yang memimpin dunia 1400 tahun dahulu lantas menguasai dunia dalam masa 32 tahun.
Begitulah ungkapan Imam As-Syahid Hassan Al-Banna kepada para pemuda yang dicintainya,
Wahai para pemuda……Sesungguhnya kesuksekasan suatu fikrah (ideologi) dilandasi oleh keimanan yang mengakar, keikhlasan yang murni dalam menempuh perjalanannya, semangat yang menggelora dan pelaksana yang mampu mendukung fikrah ini dalam bentuk amal dan pengorbanan. Keempat perihal ini (keimanan, keikhlasan, semangat dan amal) merupakan ciri khas para pemuda.

Pemuda bernilai sebuah ummah

KAMU PERLU MERUBAH DUNIA INI.. WALAUPUN ANDA KESEORANGAN..


Masyarakat muslim cukup unik binaan strukturnya. Islam mendidik individu-individunya agar setiap orang daripada mereka menjadi satu unit yang lengkap lagi melengkapi. Dia seumpama batu-bata yang teguh, disusun bersama batu bata yang lain dalam binaan yang besar. Proses ini bermula sejak pembentukan masyarakat Islampertama di bawah petunjuk Nabawi. Antara seruan pertama Islam ialah sabda Rasul s.a.w (yang bermaksud):
“Allah memberi hidayah melalui kamu seorang lelaki lebih baik bagi kamu daripada unta Humr an-Ni’am (jenis unta yang paling tinggi nilainya)” [Muttafaq ‘alaih)
Semenjak saat itu, setiap individu daripada generasi awal Islam memikul fikrah Islamiah dan aqidah yangmurni dalam pemikiran mereka, begitu juga keimanan yang mendalam dan mantap di dalam jiwa-jiwa mereka.Sehingga ianya terserlah dalam kata-kata, tingkah laku dan gerak diam mereka.
Setiap individu di kalangan mereka seolah-olah membentuk sebuah umat. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w terhadap peribadi Abu ‘Ubaidah al-Jarrah:
“Dia diutuskan sebagai sebuah umat”
Khalid al-Walid di medan perang mewakili sebuah umat. Beliau bertanggungjawab melemah dan menumbangkan Rom di tanah Arab.
‘Abdul Rahman bin ‘Auf di dalam bidang ekonomi mewakili sebuah umat. Dialah yang berperanan memecahkan monopoli Yahudi di Madinah yang sekian lama sebelumnya menguasai kegiatan ekonomi Madinah.
‘Umar al-Khattab dalam soal keadilan mewakili sebuah umat. Lorong-lorong Madinah dijelajahinya untuk menangani permasalahan rakyat. Gabenor dan penguasa dihimpun setiap tahun untuk dikaji siasat. Perhimpunan haji saban tahun dijadikan tele-aduan umat.
Mus’ab bin ‘Umair pula dalam usaha da’wah mewakili sebuah umat. Tiada satu rumah di Madinah melainkan dimasuki sinar da’wah Islamiah dan petunjuk al-Quran.
Mu’az bin Jabal dalam soal halal haram mewakili sebuah umat. Zaid bin Thabit dalam soal hukum hakam pusaka mewakili sebuah umat. Banyak dan banyak lagi contoh individu di kalangan mereka yang sedemikian.
Benarlah kata-kata Abu Bakar as-Siddiq yang menyifatkan:
"La Yuhzamu Jayshun Fihi Al-Qa’Qa Ibn Amr - Sawtu Al-Qa’Qa Fil Ma’arakati Ya’dulu Alfa Rajulan"“Takkan terkalahkan tentera didalamnya ada al-Qa’qa ibn Amr, Suara Qa’qa’ di medan perang menyamai seribu pahlawan”.
Bukankah beliau mampu menyusun kembali tentera muslimin yang kucar kacir, menaikkan semangat juang mereka, mengacau bilaukan musuh, mencari titik kelemahan mereka dan lain-lain lagi.
Sewaktu pembukaan Mesir oleh tentera Islam di bawah Amr al-’As, Umar al-Khattab telah mengirim 4 ribu tentera sebagai tambahan. Pasukan tambahan tentera ini disertai oleh Zubair al-’Awwam, Miqdad bin Amr, Ubadah bin Shamit dan Muslimah bin Mukhlid, yang dikatakan setiap orang bernilai lebih dari seribu orang. Saydina Umar memberi amanat kepada Amr bin al-’As, "Kamu harus tahu bahawa kamu mempunyai 12 ribu tentera, dan 12 ribu tentera tidak akan dikalahkan disebabkan bilangan mereka". Dan berlakulah pembukaan Mesir yang agung di dalam sejarah Islam.
Setiap seorang daripada mereka hanyalah seorang individu, tetapi dengan tekad kemahuan serta amal kerja, dia seolah-olah sebuah umat, mengubah wajah sejarah dengan usahanya itu. Sebagaimana yang dikatakan:
“Amal praktik seorang lelaki di kalangan seribu lelaki lebih baik daripada kata-kata seribu lelaki kepada seorang lelaki”.
Mereka berusaha seolah-olah tiada sesiapa di sekelilingnya yang turut bekerja bersamanya.Seolah-olah dia ingin memulakan binaan Islam dengan tangannya dan menyempurnakannya dengan tulang empat keratnya.
Kesungguhan inilah yang didapati oleh ‘Umar al-Khattab di kalangan tenteranya. Beliau berkata:
“Sungguh mengkagumkan aku, panglima perang yang jika kamu melihatnya, kamu menyangkanya seorang tentera bawahan yang patuh. Mengkagumkan aku juga, tentera bawahan yang jika kamu menyaksikannya, kamu menyangkanya seorang panglima berkaliber”.
Lantaran ini, mereka telah merubah sejarah dunia, memimpin dan membinanya dengan baik.
Tiada seorang pun di kalangan mereka yang memperkecilkan dirinya atau apa yang dilakukannya. Mereka amat memahami sabda Rasulullah s.a.w:
“Sampaikan daripada aku walaupun sepotong ayat”[Diriwayatkan oleh al-Bukhari]
Amal kerja dan sumbangan mereka tidak terhenti di satu tahap, bahkan ke penghujung nafas yang terakhir. Lihatlah Abu Ayyub al-Ansori yang mati syahid di pinggir pagar kota Konstantinople dalam usianya 80 tahun. Pada saat kematiannya, dia tidak menghentikan sumbangannya kepada Islam, bahkan menyampaikan kepada muslimin sebuah hadis yang pernah didengarnya daripada Nabi s.a.w:
“Sekiranya Kiamat berlaku sedangkan di tangan salah seorang daripada kamu anak pokok, maka tanamkanlah ia”[Diriwayatkan oleh Ahmad]
Nilai dan sikap ini satu fenomena biasa di dalam masyarakat muslim pada sepanjang zaman. Setiap individunya menjadi batu-bata kepada binaan Islam yang agung. Mereka saling memperkukuhkan yang lain dalam segenap bidang dan lapangan. Hasil usaha mereka yang gigih, sesiapa yang melihat binaan Islam akan berkata: Alangkah indahnya! Alangkah hebatnya Islam!
Dengan penuh tawadhu’ dan ikhlas, mereka tidak rela diri mereka hidup dengan kehidupan haiwan yang didambakan oleh mereka yang kufur kepada Allah.
“Dan orang-orang yang kafir berseronok dan makan seperti binatang ternakan makan. Nerakalah tempat mereka” [Muhammad: 12]
Mereka tidak akan duduk berpeluk tubuh melihat sekeliling tanpa melakukan sesuatu. Akan tetapi mereka mengangkat slogan Nabi s.a.w:
“Orang mukmin kepada mukmin yang lain seperti satu binaan yang saling kuat menguat satu sama lain”[Muttafaq ‘alaih]
Lantaran itu kita dapat lihat Ibnu al-Haitham, Ibnu al-Nafis dan Ibnu Rusyd saling lengkap melengkapikepakaran mereka. Setiap seorang daripada mereka saling menguatkan yang lain untuk meninggikan binaanIslam.
Akan tetapi pada zaman yang semakin kabur ghayah, bercampur aduknya visi hidup serta bersimpang siurnya misi masyarakat, pada saat yang sama binaan Islam semakin goyah dan rapuh, siapakah yang ingin mewakili umat mengembalikan binaannya yang agung?
Siapakah yang akan mewakili umat mengembalikan manusia kepada Tuhannya, memerdekakan mereka daripada belenggu syahwat, hawa dan material?
Siapakah yang akan mewakili umat menyelamatkan mereka daripada kejahilan?
Siapakah yang akan mewakili umat mempamer keindahan kesyumulan Islam dan membongkar wajah hodoh sekular?
Siapakah yang akan mewakili umat mengembali martabat syari’at serta menumbang kezaliman hukum manusia?
Siapakah yang akan mewakili umat menyekat ancaman serangan Zionis dan Salibi Antarabangsa?
Siapakah yang akan mewakili umat memecah monopoli Yahudi dan US, menyediakan barangan alternative kepada barangan mereka?
Siapa? Siapa? Siapa?
Pastikan kita!!!