Thursday, February 23, 2012

Apa yang paling dekat dan apa yang paling Jauh?

Tepat jam 2.00pm, aku terbangun dari lena. Semalam aku bertugas malam, maka siangnya, aku rehatkan diri kerana badanku, mataku, jiwaku dan hatiku perlu beradu.

Selesai solat zohor yang agak lewat, aku pun tertakafur seketika. Kemudian, aku buka Album maya. Ku renung dan setiap gambar itu membuatku mengimbau kenangan yang lama. Hatiku mula rasa gundah gelana. Iya lah, masa mendatang bukan semudah dirancang. Ia adalah satu mimpi ngeri bagi yang tidak merancang. Dan setiap arah tuju itu pasti ada liku-liku. Apatah lagi, di pertengahan Bulan Jun nanti, adalah detik yang sangat penting dalam sejarah hidupku.




"apa yang paling dekat" dan "apa yang paling jauh" ?

Aku sengaja bertanya kepada diriku, untuk bermuhasabah. Apakah benar "memori yang lalu" itu jauh? Dan Mati itu dekat? Kiranya kalau lembaran sejarah yang tercatat dalam diriku itu adalah satu perjalanan hidup yang tidak terkira harganya. Dapatkah aku kembali membaiki apa yang telah terjadi ? Dapatkah aku pulang ke masa yang lampau seperti movie "back to the future?"

Allah S.W.T telah berfirman dalam AL Quran , Surah Al-’Asr surah yang ke 103, ayat 1-3

" Demi Masa, sesungguhnya manusia kerugian, kecuali pada orang beriman dan beramal soleh, serta berpesan-pesan kebaikan dengan kesabaran."

Sungguh, masa itu tidak dapat diputar dan tidak dapat dibeli. Rugilah pada mereka yang mensia-siakan masa. Dan rugilah mereka yang banyak melakukan kejahatan dan tidak pernah berusaha untuk bertaubat dan memperbaiki diri. Sungguh! Sesungguhnya! Tidak terkecuali diri kita dari kerugian, atas kealpaan kita dengan "KEHIDUPAN" yang penuh diselubungi penyakit "Wahan". Yakni cinta Dunia.

Jadi, benarlah kata Imam AL Ghazali, masa silam itu sangatlah jauh, dan sangat mustahil lah kita dapat kembali ke masa silam. Biarpun dengan teknologi yang sedia ada. Kita sedia maklum, dalam teori saintifiknya, atas kajian yang dibuat oleh Albert Einstein , Q=mc.square , sangat mustahil bagi kita dengan menggunakan kuasa cahaya sekalipun, kita pasti tidak akan kembali ke masa silam. Malah, kalau dapat sekalipun dengan menggunakan (c square) kuasa cahaya, pastinya jisim (mass) akan lenyap dan terhakis atau hancur.

Paling dekat itu Mati?

Mati itu adalah pasti, dan ia pasti akan berlaku atas siapa-siapa sekalipun. Semua ini telah ALLAH rakamkan dalam AL Quran malah ALLAH tunjukkan kepada kita sekalian manusia, MATI ITU ADALAH PASTI!



“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesaran) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Al-Imran: 185)

Kita percaya mati adalah pasti, namun sudahkah kita persiapkan diri dengan sebaik-baik bekalan? Atau kita bersahaja dan percaya bahawa "hidup itu biar enjoy?"

Biar kita hidup di dunia ini dengan penuh makna. Isikan hidup ini dengan sesuatu yang penuh keredhaanNya. Kerana, kita tahu, apapun kita gapai di sisiNYA tanpa mengikut syariat dan perintahNYA, kita sudahpun mensia-siakan masa kita yang pastinya akan menjadi "masa silam" yang jauh untuk digapai.

Jum, sama-sama kita renung kata-kata hikmah dari Imam Al Ghazali :

"Jadikan kematian itu hanya pada badan kerana tempat tinggalmu ialah liang kubur dan penghuni kubur sentiasa menanti kedatanganmu setiap masa. "

Atas sebab musabab itu, aku rasa aku perlu bertekad sebulat-bulat tekad untuk beriltizam menjadi seorang lelaki yang memanfaatkan masa dengan sesuatu yang berlandaskan syariat. Dan setiasa beringat-ingat bahawa sekejap lagi mati itu menjemputku.

Jadi, dengan itu juga, aku ingin juga berkongsi sebuah hadith yang dinukilkan oleh Imam Ibnu Majah yang bermaksud:

" Dari Ibnu ‘Umar dia berkata: Aku bersama Rasulullah s.a.w., lalu seorang lelaki Ansar datang kepada baginda kemudian mengucapkan salam kepada Nabi s.a.w. lalu dia bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah di antara kaum mukminin yang paling utama?

Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya di antara mereka.

Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik?

Baginda menjawab: Yang paling banyak mengingati kematian di antara mereka, dan yang paling bagus persiapannya setelah kematian. Mereka itu orang-orang yang cerdik. "

– Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah, no: 4249


Sekali lagi aku mendongak ke arah jam dinding, rupa-rupanya dah pukul 3.31 petang. Sekejap lagi aku kena bertugas. Jadi dalam masa 2 jam ini, aku perlu persiapkan diriku sepertimana kita, perlu mempersiapkan jalan Kematian kita dengan penuh kesempurnaan. Selamat maju jaya dan Semoga sampai ke destinasi dengan penuh keredhaan.


Salam Perantauan ~
Laut China Selatan